Sime Darby FC Teruskan Perjuangan

PASUKAN berstatus kelab, Sime Darby memanfaatkan sepenuhnya empat siri perlawanan persahabatan bagi memastikan tahap kecergasan dan keserasian terus dipertingkatkan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana.

Menang 4-1 menewaskan T-Team dalam aksi kelmarin, Jurulatihnya, Ismail Zakaria mahu anak didiknya sentiasa berada dalam keadaan cergas memandangkan baki tiga perlawanan penentu kepada kedudukan dalam liga.

"Kita mahu semua pemain berada dalam keadaan bersedia dari segi fizikal dan mental, walaupun saingan berehat seketika ia bukanlah alasan buat pemain untuk berehat.

"Malam ini kita akan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United (15 Jun) dan dua hari kemudian bertemu Perak.

"Perlawanan ini akan dijadikan ruang mengembalikan tahap kecergasan, menambah keyakinan terhadap beberapa pemain yang baru bebas kecederaan selain mengukuhkan keserasian di kalangan pemain," katanya.

Jelasnya, baki tiga perlawanan menentang Kedah (21 Jun) di gelanggang lawan, Uitm FC (24 Jun) dan perlawanan terakhir di laman sendiri menentang KL Pos Malaysia amat penting.