Frenz Malaysia A memburu tiga mata penuh perlawanan menentang Timor Leste





PASUKAN Frenz Malaysia A memburu tiga mata penuh perlawanan menentang Timor Leste esok bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan A, Piala Asean FAM-Frenz bawah 15 tahun di Stadium Frenz Janda Baik, Pahang.
  
Kemenangan beraksi di laman sendiri esok merupakan perlawanan penting bagi pasukan Frenz Malaysia A yang kini menduduki tempat ketiga kumpulan A setelah mengumpul lima mata bagi mengatasi pencabar terdekat, pasukan Thailand Chonburi FC yang mempunyai kelebihan satu mata di hadapan.
  
Pasukan Vietnam PVF FA yang bermain lebih awal satu permainan berbanding pasukan lain mengungguli Kumpulan A dengan mengutip tujuh mata.
  
Ketua jurulatihnya, Matdinos Talib berkata anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tentangan Timor Leste yang kini menduduki tangga kelima daripada enam pasukan dalam kumpulan A.
  
"Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan moral pasukan melonjak-lonjak untuk memastikan kemenangan penuh bergaya pada pertemuan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada perlawanan itu, Frenz Malaysia A akan menurunkan barisan terkuat dan pastinya sandaran menjaringkan gol akan digalas penyerang utama mereka, Akhmar Haikal yang setakat ini menyumbat dua gol dalam dua perlawanan terdahulu.
  
Matdinos, bagaimanapun berkata mereka tidak sesekali memandang rendah keupayaan Timor Leste, namun pada masa sama beliau yakin Frenz Malaysia A akan memenangi perlawanan itu sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan kumpulan.
  
Dalam saingan kumpulan B, Frenz Malaysia B berada di tangga kedua dengan mengumpul lima mata, perbezaan dua mata di belakang Frenz Indonesia yang mendahului kumpulan tersebut.
  
Kejohanan Piala Asean FAM-Frenz United bawah 15 tahun anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Frenz United Football Academy (FUFA), yang berlangsung dari 25 Mei hingga 8 Sept, menjadi medan bagi mencungkil bakat sukan bola sepak negara.
  
Pasukan Frenz Malaysia B diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Frenz Indonesia, Lao Toyata FC, Myanmar Mandalay FC, Brunei Darussalam NFA dan Filipina Bawah 15 Tahun.
  
Selain Frenz Malaysia A, kumpulan A dibarisi pasukan Kemboja Phnom Penh Crown, Timor Leste Bawah 15 Tahun, Singapura NFA, Thailand Chonburi FC dan Vietnam PVF Fad bagi merebut hadiah utama kejohanan berupa wang tunai US$100,000. - Bernama

Tiada ulasan: