Sime Darby FC Teruskan Perjuangan

PASUKAN berstatus kelab, Sime Darby memanfaatkan sepenuhnya empat siri perlawanan persahabatan bagi memastikan tahap kecergasan dan keserasian terus dipertingkatkan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana.

Menang 4-1 menewaskan T-Team dalam aksi kelmarin, Jurulatihnya, Ismail Zakaria mahu anak didiknya sentiasa berada dalam keadaan cergas memandangkan baki tiga perlawanan penentu kepada kedudukan dalam liga.

"Kita mahu semua pemain berada dalam keadaan bersedia dari segi fizikal dan mental, walaupun saingan berehat seketika ia bukanlah alasan buat pemain untuk berehat.

"Malam ini kita akan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United (15 Jun) dan dua hari kemudian bertemu Perak.

"Perlawanan ini akan dijadikan ruang mengembalikan tahap kecergasan, menambah keyakinan terhadap beberapa pemain yang baru bebas kecederaan selain mengukuhkan keserasian di kalangan pemain," katanya.

Jelasnya, baki tiga perlawanan menentang Kedah (21 Jun) di gelanggang lawan, Uitm FC (24 Jun) dan perlawanan terakhir di laman sendiri menentang KL Pos Malaysia amat penting.

Frenz Malaysia A memburu tiga mata penuh perlawanan menentang Timor Leste





PASUKAN Frenz Malaysia A memburu tiga mata penuh perlawanan menentang Timor Leste esok bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan A, Piala Asean FAM-Frenz bawah 15 tahun di Stadium Frenz Janda Baik, Pahang.
  
Kemenangan beraksi di laman sendiri esok merupakan perlawanan penting bagi pasukan Frenz Malaysia A yang kini menduduki tempat ketiga kumpulan A setelah mengumpul lima mata bagi mengatasi pencabar terdekat, pasukan Thailand Chonburi FC yang mempunyai kelebihan satu mata di hadapan.
  
Pasukan Vietnam PVF FA yang bermain lebih awal satu permainan berbanding pasukan lain mengungguli Kumpulan A dengan mengutip tujuh mata.
  
Ketua jurulatihnya, Matdinos Talib berkata anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tentangan Timor Leste yang kini menduduki tangga kelima daripada enam pasukan dalam kumpulan A.
  
"Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan moral pasukan melonjak-lonjak untuk memastikan kemenangan penuh bergaya pada pertemuan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada perlawanan itu, Frenz Malaysia A akan menurunkan barisan terkuat dan pastinya sandaran menjaringkan gol akan digalas penyerang utama mereka, Akhmar Haikal yang setakat ini menyumbat dua gol dalam dua perlawanan terdahulu.
  
Matdinos, bagaimanapun berkata mereka tidak sesekali memandang rendah keupayaan Timor Leste, namun pada masa sama beliau yakin Frenz Malaysia A akan memenangi perlawanan itu sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan kumpulan.
  
Dalam saingan kumpulan B, Frenz Malaysia B berada di tangga kedua dengan mengumpul lima mata, perbezaan dua mata di belakang Frenz Indonesia yang mendahului kumpulan tersebut.
  
Kejohanan Piala Asean FAM-Frenz United bawah 15 tahun anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Frenz United Football Academy (FUFA), yang berlangsung dari 25 Mei hingga 8 Sept, menjadi medan bagi mencungkil bakat sukan bola sepak negara.
  
Pasukan Frenz Malaysia B diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Frenz Indonesia, Lao Toyata FC, Myanmar Mandalay FC, Brunei Darussalam NFA dan Filipina Bawah 15 Tahun.
  
Selain Frenz Malaysia A, kumpulan A dibarisi pasukan Kemboja Phnom Penh Crown, Timor Leste Bawah 15 Tahun, Singapura NFA, Thailand Chonburi FC dan Vietnam PVF Fad bagi merebut hadiah utama kejohanan berupa wang tunai US$100,000. - Bernama

FAM tunggu laporan Azzuddin


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti laporan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum mengambil tindakan terhadap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengkritik badan induk itu.
  
Timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, Ednan Othman berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Sekretariat FAM sebelum memulakan siasatan terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perlis itu.
  
"Sehingga kini, kami belum menerima apa-apa laporan daripada pihak Sekretariat FAM dan kami tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    

Dalam laporan akhbar hari ini, Azzuddin dipetik sebagai berkata beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu biarpun dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan.


     Shahidan pada Sabtu lepas, mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang sudah 'membuangnya', menggantungnya tetapi tiada pegawainya yang bertanya khabar PFA.
  
Bekas Presiden PFA itu juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden pasukan Singa Utara itu, dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.
  
Selain digantung 30 bulan, Shahidan yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.- Bernama

Kelantan Final Piala FA



KELANTAN bangkit dari ambang kekalahan untuk menyingkirkan Terengganu menerusi agregat 6-5 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA selepas tamat aksi yang berlarutan sehingga 120 minit di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, petang ini.

Sebelum ini, Kelantan mencatat kemenangan 4-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV.

Dengan keputusan itu, Kelantan berjaya mara ke perlawanan akhir buat kali keempat sekaligus semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi mereka musim lalu.

Dalam perlawanan tadi, meskipun Vincent Bikana, G.Paneswaran, Effa Owona dan Manaf Mamat meletakkan Terenggau 4-0 di depan, namun ia tidak mematahkan semangat anak buah Bojan Hodak untuk mencari gol.

Akhirnya, Obinna Nwaneri berjaya meledak gol pertama buat Kelantan pada minit ke-95 sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan selepas perlawanan terikat agregat 5-5.

Pada masa tambahan 30 minit, Terengganu yang beraksi dengan sembilan orang pemain selepas Owona dan Manaf dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, ia nyata memberi kelebihan kepada pasukan pelawat untuk menghasilkan gol.

Ketika perlawanan berbaki dua minit terakhir, Dickson Nwakaeme muncul wira buat Kelantan apabila memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas menjaringkan gol pada minit ke-119 sekali gus meranapkan impian Terengganu mara ke final.

Dalam perlawanan final nanti, Kelantan akan bertemu sama ada Johor Darul Takzim (JDT) atau Pahang yang akan turun beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur malam ini.

Sumber Dari : Sinar Harian

PBNJ mendakwa FAM berat sebelah

30 Mei 2013



TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi 60,000 tiket kepada Pahang daripada 80,000 tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan separuh akhir Kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) melahirkan rasa kurang senang Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) apabila mereka mendakwa badan induk bola sepak itu bersikap berat sebelah.

Kenyataan dikeluarkan PBNJ hari ini menyebut FAM sepatutnya menjadi organisasi pentadbir bola sepak Malaysia yang telus dan adil, tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila badan induk bola sepak itu seolah-olah menyebelahi Pahang.

Katanya, tujuan bermain di gelanggang berkecuali adalah supaya berlaku adil kepada kedua-dua pasukan, namun FAM jelas menunjukkan bahawa mereka berat sebelah berkenaan agihan tiket dan bersikap menyebelahi Pahang.

"Tindakan FAM yang memberikan mereka keistimewaan bermain dan bertindak selaku tuan rumah di Stadium Nasional Bukit Jalil termasuk agihan tiket tidak seimbang seolah-olah Pahang tidak bersalah di atas insiden yang berlaku di Stadium Darul Makmur.

"Harus diingat bahawa Pahang dihukum kerana gagal mengambil langah-langkah keselamatan yang cukup dalam perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 28hb Mei yang lalu, tetapi...ini bukanlah satu denda, tetapi hadiah buat PBNP," jelasnya.

Tambahnya: "Agihan tiket juga tidak seimbang, dengan 60,000 tiket diperuntukkan bagi Pahang dan lebihan 20,000 tiket lagi untuk jualan umum, dan tidak dkhususkan untuk penyokong Johor.

"Sebaliknya PBNJ perlu membuat rayuan bertulis kepada FAM untuk mendapatkan peruntukan tiket dan itu pun atas budi bicara FAM.

"Secara realitinya, penyokong Johor yang dihukum kerana perlu membayar lebih untuk mendapatkan tiket, belanja tambahan untuk perjalanan serta trauma fizikal dan mental setelah insiden Selasa lalu, selain kerosakan harta benda," katanya.

Hari ini, satu mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan di Wisma FAM membuat keputusan bahawa sejumlah 60,000 tiket untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan JDT di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini akan diberikan kepada PBNP.

Penolong Setiausaha Agung (Tempatan) FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud berkata jumlah berkenaan diberikan kepada PBNP berdasarkan hak mereka selaku tuan rumah.

Terdahulu, perlawanan tersebut yang sepatutnya diadakan di Stadium Darul makmur, Kuantan, Isnin lepas tidak dapat diteruskan berikutan kekecohan penyokong.

Pada masa sama, PBNJ turut menyelar sikap FAM yang lebih mengutamakan mendapatkan hasil jualan tiket untuk Pahang berbanding keselamatan penyokong.

Ini kerana katanya, meskipun PBNJ telah memohon supaya perlawanan pada hari Sabtu ini diadakan dalam stadium tanpa penonton, kerana mengutamakan keselematan penyokong, memandangkan situasi masih lagi tegang daripada insiden Selasa lepas, namum perkara itu tidak diendahkan oleh badan induk bola sepak itu.

"Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini di Stadium Bukit Jalil, siapa yang akan bertanggungjawab, PBNP atau FAM?.

"Jika berlaku insiden yang sama di Stadium Larkin Johor Bahru, atau di Perak, Selangor, atau mana-mana negeri yang lain, adakah keistimewaan menggunakan Stadium Bukit Jalil akan diberikan dan hasil jualan tiket akan disalurkan kepada persatuan-persatuan bolasepak yang berkenaan.

"FAM telah menunjukkan bahawa mereka boleh berat sebelah berkenaan agihan tiket. Adakah pengadil juga boleh menjadi berat sebelah, kerana mereka di bawah bidang kuasa FAM," ujarnya.

Untuk rekod, JDT menang 1-0 ke atas Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

Pemenang perlawanan itu akan menentang juara bertahan, Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas pasukan itu menundukkan jiran mereka, Terengganu dengan keputusan agregat 6-5, Isnin lepas.

.Sumber Dari : Sinar Harian....