FAM tunggu laporan Azzuddin


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti laporan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum mengambil tindakan terhadap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengkritik badan induk itu.
  
Timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, Ednan Othman berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Sekretariat FAM sebelum memulakan siasatan terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perlis itu.
  
"Sehingga kini, kami belum menerima apa-apa laporan daripada pihak Sekretariat FAM dan kami tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    

Dalam laporan akhbar hari ini, Azzuddin dipetik sebagai berkata beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu biarpun dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan.


     Shahidan pada Sabtu lepas, mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang sudah 'membuangnya', menggantungnya tetapi tiada pegawainya yang bertanya khabar PFA.
  
Bekas Presiden PFA itu juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden pasukan Singa Utara itu, dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.
  
Selain digantung 30 bulan, Shahidan yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.- Bernama

Tiada ulasan: